Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah
lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing
dan sehingga kini negara telah mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun.
Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun
meninggalkan implikasi kepada negara secara tidak langsung. Termasuklah
mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat
majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang
menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja
sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British
telah memberi kesan yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini.
Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu
Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional
dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan
bersatu padu. Diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan
pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan
dan sebagainya. Usaha untuk memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan
mencapai matlamatnya tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak. Dalam era
globalisasi terdapat banyak cabaran yang mampu menggugat perpaduan di kalangan
etnik di negara ini. Isu-isu internal dan external menyumbang kepada kegoyahan
hubungan etnik jika tidak ditangani dengan bijak. Kestabilan ekonomi dan
politik merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik. Perpaduan yang dikecapi
pada hari ini perlu dihargai agar terus dirasai oleh generasi akan datang.
Kegagalan mengekalkan perpaduan memudahkan dominasi negara-negara lain untuk
menakluki negara kita. Semua etnik tanpa mengira batas agama, budaya dan adat
perlu belajar daripada sejarah agar sejarah penjajahan yang telah berlangsung
lebih dari seratus tahun tidak akan berulang. Cabaran era globalisasi hadir
tanpa mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu
bijak dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang.
Keupayaan sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu
menjadikan negara berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain.
No comments:
Post a Comment